Monday, February 9, 2009

Tindakan Sultan Perak berlandas prinsip demokrasi

SIKAP biadab dan angkuh pemimpin serta penyokong Pakatan Rakyat yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dengan menggugut baginda untuk dibawa ke muka pengadilan, selain memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak yang menimbulkan kemarahan rakyat, perlu dilihat secara serius. Tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang bercadang memfailkan kes terhadap Sultan Azlan Shah dan kerajaan negeri yang baru berikutan pelucutan jawatan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dan pembentukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu yang didakwa tidak mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, menggambarkan pembangkang tidak mempercayai sistem Raja Perlembagaan. Bagaimanapun bagi Karpal, mempermainkan Perlembagaan dengan berselindung menggunakan undang-undang bukan sesuatu yang baru dan beliau dijangka memfailkan kes itu di Mahkamah Tinggi Ipoh, esok. Pada Mei tahun lalu, Karpal dilaporkan membuat kenyataan mempertikai kuasa Sultan Perak berhubung arahan menukar Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury serta hak keistimewaan Bumiputera ketika mengulas ucapan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Mohamad Faris Petra. Kemelut politik Perak sepatutnya sudah berakhir dengan pelantikan Menteri Besar baru mewakili parti yang mempunyai suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi nampaknya ia kini lebih terarah kepada krisis Perlembagaan apabila Pakatan Rakyat mahu mengheret isu berkaitan ke mahkamah.
Mohammad Nizar bukan saja tidak menghormati keputusan Sultan Perak supaya beliau berundur secara terhormat, malah gagal memahami prinsip demokrasi iaitu beliau sudah tidak lagi mewakili suara majoriti dalam DUN. Tindakannya untuk terus mendakwa masih sebagai Menteri Besar yang sah, diragui kerana dalam mana-mana Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri, seseorang yang gagal mendapat suara majoriti walau dengan cuma satu kerusi, perlu memberi laluan kepada penggantinya. Inilah prinsip demokrasi yang tidak boleh ditakrifkan dengan definisi undang-undang secara khusus seperti undi tidak percaya di sidang DUN atau pembubaran DUN bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan. Pakatan Rakyat bagaikan menafikan hakikat bahawa mereka sudah kehilangan majoriti di DUN. Jika mereka faham prinsip ini, Mohammad Nizar perlu undur, bukan mengusutkan lagi keadaan dengan terus menduduki kediaman rasmi Menteri Besar dan berdegil untuk pergi bertugas seperti biasa di Pejabat Menteri Besar esok, walhal pejabat itu sudah diisi oleh Datuk Dr Zambry Abdul Kadir. Hormatilah semangat demokrasi berlandasan suara majoriti. Apa yang dilakukan oleh Sultan Perak adalah berlandaskan kepada semangat prinsip demokrasi ini dan atas sebab itu baginda menitahkan Mohammad Nizar dan barisan Exconya meletak jawatan. Berundurlah secara terhormat dan jika mahu berkuasa semula, biarlah rakyat yang menentukan apabila tiba pilihan raya nanti.

5 comments:

  1. kerajaan harus lucutkn kerakyatan Karpal Singh kerana sikapnya tidak hormat org melayu lebih2 lagi sutan perak

    ReplyDelete
  2. ksebagai rakyat malaysia kita harus pndg serius prkara ini
    ini membabit kan org melyu
    adakah kita hndah negara kita dijajah sekali lagi???

    ReplyDelete
  3. dimanakah tindakn sultan perak???
    kpda Karpal Singh
    adakah sultan tiada kuasa???

    ReplyDelete
  4. knapaa org melayu kita sndiri mndurhaka???
    apa nak jdi dngan malaysia???
    dimana sifat hormat???
    jika berginilah sikapnya
    tak akan bersatulah org melayu kita

    ReplyDelete
  5. apa nk jad dngan org melayu kita
    sampai taksub dengan politik?
    smpi brpch blh sesama melayu?

    ReplyDelete